Khutbah Jumaat: Etika Pergaulan Dalam Islam

Etika Pergaulan Dalam Islam
Disediakan oleh: Dr. Hj. Mohd Ismail bin Mustari
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
18 Nov 2011 Bersamaan 22 Zulhijjah 1432

لحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره الكافرون، أشهد أن لا اله الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على محمد وعلى اله وأصحابه أجمعين. أما بعد:  فيا عباد الله إتقو الله أوصيكم ونفسي بتقوالله فقد فاز المتقون. قال الله تعالى فى كتابه العزيز: يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم، فإن تنزعتم فى شىء فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر، ذلك خير وأحسن تأويلا.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,



Mimbar jumaat yang mulia pada hari ini akan membicarakan Etika Pergaulan Dalam Islam. Manusia tertakluk untuk memelihara dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas). Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan, seperti mana Nabi Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga. Kita saling memerlukan antara satu sama lain dan saling bergantungan untuk meneruskan survival kehidupan.


Dalam Islam, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan kemasyarakatan, jual beli, kerja, belajar, perubatan, penyaksian di mahkamah dan sebagainya. Kita digalakkan untuk saling mengenali antara satu-sama lain dan ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat : ayat 13 yang berbunyi ;

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Agama Islam adalah agama yang menekankan kepada pembinaan jamaah yang bertunjangkan aqidah, berdahankan syariah dan berimbunkan akhlak yang mulia. Pergaulan merupakan salah satu cara untuk memperkasakan ukhuwwah yang disemai. Seseorang muslim yang tulen dan mukmin yang istiqomah dengan ajaran agama akan memastikan pergaulan bertujuan merealisasikan taqwa untuk membawa ummah kembali kepada penciptanya. Sabda Rasulullah saw.

Maksudnya:

Orang mukmin yang bergaul dengan orang-orang dan tahan ujian atas segala gangguan mereka, lebih baik daripada orang-orang mukmin yang tidak bergaul dengan orang­orang dan tidak tahan ujian atas gangguan mereka.

(Hadis riwayat Tarmizi).

Dalam hadis Qudsi ada dinyatakan :

Maksudnya:
Pada hari Qiamat Allah SWT akan berseru: Di manakah orang yang berkasih sayang kerana keagunganKU, pada hari ini Aku lindungi mereka di bawah lindunganKu pada ketika tiada perlindungan kecuali perl
indunganKu.
(Riwayat Muslim)



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT.

Pergaulan merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam kehidupan.  Allah SWT merakamkan di dalam hadis Qudsi di atas sebagai suntikan bahawa setiap pergaulan yang berteraskan untuk mengagungkan dan menqasadkan Allah SWT akan dianugerahkan ganjaran yang terlalu istimewa di akhirat kelak. Secara umumnya pergaulan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap ahli masyarakat ialah memandang saudara-saudaranya dengan pandangan sangka baik. Pandangan yang penuh dengan harapan agar saudaranya sentiasa mendapat taufiq dan hidayah Ilahi. Pergaulan boleh dibahagikan kepada beberapa golongan antaranya:
Pertama, pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Sekiranya pergaulan itu berasaskan kepada tujuan mendesak ataupun keperluan, maka ia dibolehkan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, perlu menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana yang telah digariskan Islam. Pandangan yang diberikan oleh Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi  di dalam Fatawa Muasyirah, Jilid 2 menyebutkan: ”Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak dan wajib dipatuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab”.

a) Menundukkan pandangan
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. (An-Nuur : ayat 30)

Tidak melihat aurat dan memandang dengan pandangan syahwat atau dengan pandangan yang liar. Pandangan pertama dimaafkan, namun jangan pula disusuli dengan pandangan kedua dan ketiga kerana ia adalah haram.

b) Menjaga aurat dan kehormatan

Firman Allah SWT:
Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur : ayat 31)

Batasan aurat bersama bukan mahram (ajnabi)

Lelaki – antara pusat ke lutut Wanita – seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan Berpakaian sopan menurut syarak, iaitu tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit,  tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan dan tudung dilabuhkan melebihi paras dada. Tidak salah berfesyen asalakan menepati standard piawaian pakaian Islam. Hayati pemakaian kita di dalam solat. Sebagaimana kita berpakaian sempurna semasa mengadap Allah SWT, mengapa tidak kita praktikkan dalam kehidupan di luar? Sekiranya mampu, bermakna solat yang didirikan berkesan dan berupaya mencegah kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Elakkan daripada memakai pakaian yang tidak menggambarkan identiti kita sebagai seorang Islam. Hadith Nabi saw menyebutkan :

” Barangsiapa yang memakai pakaian menjolok mata, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat kelak..” ( Riwayat Ahmad, Abu Dawud, An-Nasai dan Ibnu Majah).

c) Tidak berdua-duaan antara lelaki dan wanita
Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan wanita melainkan akan hadir di antara keduanya yang ketiga iaitu syaitan. Pertemuan perlulah di tempat awam bukan di kawasan yang tersorok daripada pandangan ramai. Ini penting bagi mengelakkan fitnah dan menghindarkan daripada terpedaya dengan hasutan syaitan supaya melakukan perkara-perkara maksiat.
Hadith Nabi saw. menyarankan:

” Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (berkhalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Mahram yang dibawa perlulah individu yang sudah berakal, baligh dan berupaya mencegah kita daripada melakukan kemungkaran.

d) Tidak melunakkan ucapan dan mengucapkan kata-kata yang baik.

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzaab : 32)

Elakkan dari menggunakan perkataan merayu, menggoda, merangsang keinginan, keji, lucah mahupun perkatan sia-sia atau gurauan secara berlebih-lebihan. Melunakkan suara berbeza dengan merendahkan suara. Melunak suara diharamkan, manakala merendahkan suara adalah dituntut. Merendahkan suara bermakna kita berkata-kata dengan suara yang lembut, tidak keras, tidak meninggi diri, sopan  dan sesuai didengar oleh orang lain. Ini amat bertepatan dan sesuai dengan nasihat Luqman aL-Hakim kepada anaknya yang berbunyi :

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai” (Surah Luqman : ayat 19).

Penggunaan perkataan yang baik ini perlu dipraktikkan sama ada melalui perbualan secara langsung mahupun platform lain, contohnya melalui SMS, Yahoo Messengger,  tweeter ataupun apa yang ditulis di dalam Facebook kerana ia menggambarkan keperibadian penuturnya. Berkait rapat dengan ungkapan yang baik ini, di dalam al-Quran ada memberikan beberapa bentuk ungkapan yang wajar kita praktikkan dalam komunikasi seharian seperti :

Qaulan Sadida (An-Nisa’ :9): Isi pesanan jujur dan benar, tidak ditambah atau dibuat-buat, Qaulan Ma’rufa (An-Nisa : 5): Menyeru kepada kebaikan dan kebenaran, Qaulan Baligha (An-Nisa’ : 63): Kata-kata yang membekas pada jiwa, Qaulan Maisura (Al-Isra’ : 28): Ucapan yang layak dan baik untuk dibicarakan, Qaulan Karima (Al-Isra’: 23): Perkataan-perkataan yang mulia

e) Tidak bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhrim

Hadith Nabi saw. :
”Sesungguhnya kepala yang ditusuk besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.” (Riwayat At-Tabrani dan Baihaqi).
Selain itu, dari Aishah r.a : “Demi Allah, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat berbaiah.” (Riwayat Bukhari)

Elakkan bersentuhan, berpegangan, bergesel, bertepuk-tampar dan sebagainya.

f) Tidak mengenakan wangi-wangian atau perhiasan-perhiasan yang boleh menarik perhatian
g) Mengawal pergerakan badan

“..dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka..” (An-Nuur :31)

Elakkan dari melakukan gerakan manja atau gerakan yang boleh menarik perhatian orang lain. Bersederhana dalam pergaulan dan jaga adab dan tertib sebagai seorang Islam.

h) Pertemuan hendaklah pada perkara benar-benar perlu, tidak melampau atau kerap, Perlu ada batasan dan limitasi, tidak terlalu bebas.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Penekanan aspek pergaulan dalam islam adalah bermula di awal usia. Dalam perkara ini, Islam menekankannya bermula daripada sistem pendidikan di rumah lagi bagi membiasakan anak-anak memahami dan menghayati serta memprakktikannya dalam kehidupan. Kaedah pendidikan Islam dalam bab tatacara pergaulan ini  antara lain meliputi:

a) Mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan wanita yang telah mencapai umur 10 tahun.
b) Mengajarkan pada anak-anak yang telah baligh supaya meminta izin masuk dalam tiga waktu iaitu sebelum Solat Subuh, tengahari dan selepas Isyak.
c) Mengawal aktiviti anak-anak.

Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Bukhari dan Muslim :     

Maksudnya:
“Hindarilah dari masuk ke tempat perempuan”, Maka seorang lelaki Ansar berkata, Bagaimana dengan pihak keluarga suami?” Baginda menjawab itu adalah maut.

Yang dimaksudkan dengan pihak keluarga suami termasuklah adik-beradik suami, anak saudaranya, pak cik (bapa saudara) dan anak pakciknya. Bahaya yang mungkin timbul adalah lebih besar daripada yang selainnya, kerana kejahatan tidak mustahil berlaku walaupun mereka kerabat suami, dan fitnahnya lebih besar kerana mereka lebih mudah berhubung dengan si wanita tanpa disalah ertikan oleh orang yang memandangnya jika dibandingkan dengan lelaki yang ajnabi (bukan kerabat).

Pengertian hadis tersebut adalah jauhilah pergaulan (duduk bersama) dengan perempuan atau berkhalwat dengannya tanpa dihadiri oleh mahram perempuan tersebut.
Pengertian sebenar khalwat itu apabila seorang lelaki bersunyi dengan seorang wanita dan tidak dilihat oleh orang lain.

Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Dewasa kini pergaulan didalam masyarakat perlu diberikan perhatian khusus kerana terlalu ramai yang menganggapnya sebagai suatu perkara yang remeh. Mahasiswa dan mahasiswi bebas bergaul tanpa memikirkan larangan agama. Menaiki kenderaan berdua-duan antara siswa dan siswi, berkayak, berjoging, berjalan, makan sepinggan, duduk sebangku dan yang lebih mendukacitakan lagi berpegang-pegangan tangan dan bergesel-geselan di tempat-tempat terbuka. Sekiranya perkara ini tidak dirawat ia akan mengundang padah yang lebih besar dan merbahaya. Islam mengamalkan konsep ‘mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Akhbar Berita Harian pada 16 Nov 2011  memaparkan mengikut kenyataan Timbalan Menteri Hal Ehwal Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008-2010. Ini merupakan suatu angka yang terlalu menggerunkan. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengatasi hal seperti ini sekiranya tidak bermula daripada kita sebagai seorang insan muslim.

Islam juga memberikan garis panduan yang jelas berkaitan permasalahan bersalaman di antara lelaki dan wanita. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w :

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya, Rasulullah saw. tidak menyentuh tangan wanita melainkan wanita yang baginda miliki (telah mengahwininya).

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT.

Perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pergaulan sesama muslim,
1.         Pergaulan berasaskan pembinaan ketaqwaan
2.         Pergaulan untuk menterjemahkan keindahan dan kesempurnaan Islam
3.         Tidak menyakiti saudara muslim lain
4.         Tawadhu’
5.         Bersikap hormat dan pengasih
6.         Bermanis muka
7.         Tidak mudah mendengar berita-berita buruk
8.         Memelihara kehormatan
9.         Menempatkan seseorang pada haknya
10.       Meminta izin
11.       Meminta nasihat jujur
12.       lkhlas dalam setiap amalan.

Seorang muslim akan merasakan keindahan dalarn kehidupan, kedamaian dalam pergaulan, ketaqwaan menifestasi dan pengibadatan, kesabaran dalam mengharungi ujian, kecekalan dalam memperkasakan kecemerlangan, merasakan bantuan dan pertolongan Allah SWT sentiasa mendatang bilamana hati dan minda ini sentiasa subur dengan mengingati Allah SWT dalam setiap masa, apa jua keadaan dan berada di tempat mana sekalipun kita.

0 comments: