AKHLAK PENUNTUT ILMU

Khutbah Jumaat MSI 24 Feb. 2012
Tajuk: AKHLAK PENUNTUT ILMU
Khatib: Prof. Madya Dr. Hj. Azhar bin Muhammad
Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia


الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئـاتِ أعمالنا، مَن يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومَن يُضللْ فلا هادي له، وأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى حَبِيْبِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أجمعين .  
أما بعد ، فيا عباد الله ، اتقـوا اللهَ أوصيكُم وإيايَ بتقوَى اللهِ فقدْ فازَ المتقُونَ  ، قالَ اللهُ تعالى في كتابهِ العَزيز: يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمــون (آل عمران 102)

Ma‘asyiral Mukminin RahimakumulLah,

Bertaqwalah kita kepada Allah SWT; dalam erti kata yang sebenarnya iaitu dengan cara bersungguh-sungguh kita melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi seorang hamba yang sentiasa beristiqamah dalam keadaan beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Mimbar hari ini mengalu-alukan kepulangan semua mahasiswa ke kampus ini dalam sesi dan semester pengajian yang baru. Ternyata anda semua masih diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu pengetahuan semasa berada di universiti ini; peluang untuk terus memperbaiki lagi adab dan akhlak sebagai seorang penuntut ilmu; maka mulakan sesi belajar ini dengan memperbaharui kembali niat menimba ilmu; niat untuk menjadi orang berilmu kerana Allah SWT. Mimbar kali ini akan membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan adab-adab yang mesti dijaga dan dipatuhi oleh setiap yang bergelar murid, pelajar, mahasiswa atau apa-apa sahaja istilah yang menggambarkan kita menuntut ilmu. 

Pertama sekali, ingatlah bahawa kita semua berada di sebuah tempat yang paling mulia untuk belajar ilmu pengetahuan iaitu di sebuah pondok ilmu, yang kita kenali sekarang dengan nama universiti. Dengan kata lain, anda semua berada dalam sebuah pusat yang sarat dengan ilmu; di sebuah perkampungan tempat berkumpul para penuntut ilmu, para mahasiswa dan para ilmuwan. Justeru perlu kita sedar bahawa kita berada di tempat yang penuh dengan kemuliaan; yang mengingatkan kita bahawa kita mesti beradab, kita mesti berakhlak apabila berada di sini, apatah lagi menjadi warga yang tinggal, diam dan belajar di dalamnya. Allah SWT ada mengingatkan kita dalam konteks keberadaan kita dalam satu-satu majlis ilmu. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Terjemahan: Wahai orang-orang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi ruang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain) dalam majlis-majlis ilmu, maka berikan ruang seboleh-bolehnya, nescaya Allah akan melapangkan (segala halnya) untuk kamu, dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) - beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (Surah al-Mujadalah:11).

Sidang Jumaat yang berbahagia dan dirahmati Allah,

Orang yang menuntut ilmu ialah orang yang mulia. Maka jagalah status sebagai seorang yang matlamat keberadaannya di sini dengan qasad yang suci iaitu untuk menyiapkan diri sebagai seorang yang berilmu. Justeru setiap mahasiswa mahupun mahasiswi yang menuntut ilmu perlu peka dengan adab dan akhlak yang mesti dipatuhi semasa berada di dalam kampus ini untuk menuntut ilmu. Adab dan akhlak ini wajib dipatuhi oleh setiap mahasiswa agar ilmu yang ditimba mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.

Rebutlah keistimewaan yang ada pada diri seorang penuntut ilmu atau mahasiswa seperti yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana sabda Rasulillah SAW daripada Abu Hurairah ra:
ومَنْ سَلَكَ طريْقاً يَلْتَمِسُ فيهِ عِلْماً سهَّلَ اللهُ له بِهِ طريقاً إلى الجَنَّةِ
Ertinya: Sesiapa yang menempuhi satu jalan yang dengannya dia mendapat sesuatu ilmu, nescaya Allah akan permudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga (HR Muslim).

Pertama sekali diingatkan kepada semua mahasiswa; sebagai seorang yang terpelajar, untuk sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan sentiasa menghormati mereka, sentiasa berhubung dengan mereka, sentiasa mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa keberadaan kita di atas dunia ini adalah kerana keberadaan mereka berdua; dan keredaan Allah ke atas kita juga bergantung kepada keredaan ibu bapa terhadap kita.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar sentiasa menghormati guru dan mematuhi segala nasihat dan arahannya selama mana tidak menyalahi syariat Islam. Guru atau pensyarah bukan hanya sebagai seorang guru di sekolah, pensyarah di universiti sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa merekalah pengajar, merekalah pengasuh, merekalah pembimbing, merekalah penasihat, dan merekalah pendidik yang mesti dihormati walau di mana jua mereka berada.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar sentiasa mengamalkan segala ilmu yang dipelajari. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai perisai atau benteng yang kebal daripada terjerumus ke lembah perlakuan maksiat. Jadikanlah juga ia sebagai senjata untuk mematahkan serangan musuh Islam. Jadikan juga ilmu yang dipelajari sebagai penawar yang akan menyembuhkan penyakit dan budaya jahiliyah yang menjadi barah dalam masyarakat kini.

Sebagai seorang yang terpelajar, perlu diingatkan juga agar tidak menjadikan ilmu yang ada di dada semata-mata sebagai alat untuk mengejar kekayaan dan mengaut kemewahan hidup di dunia yang bersifat sementara ini hingga melupakan akhirat yang kekal abadi.

Ma‘asyiral Mukminin RahimakumulLah,
Sebagai penuntut ilmu, mahasiswa mestilah membersihkan hati daripada kecenderungan dan perlakuan buruk yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Ini disebabkan ilmu itu tempatnya di hati dan tujuannya untuk mendekatkan diri dengan Allah, justeru hati mestilah berada dalam keadaan bersih untuk menerima ilmu-ilmu yang dipelajari nanti. Justeru setiap yang bergelar “mahasiswa mahupun mahasiswi” wajib menjauhi maksiat atau apa-apa sahaja bentuk kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT. Kita perlu menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri kita sebagai seorang mahasiswa dan persekitaran kita mengikut kemampuan yang ada. Ini jelas kerana ilmu adalah nur, cahaya yang suci dan akan menjauhi kita sekiranya kita bergelumang serta kalut dengan dosa dan noda.

Justeru mahasiswa wajar sekali menjauhi perkara-perkara yang boleh memunahkan akhlak, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik akhlak serta perilakunya, bersih serta tenang hatinya. Jika perangai dan hati mahasiswa dicemari dengan elemen-elemen yang negatif seperti melakukan kemaksiatan terhadap Allah; maka ini menyebabkan seseorang penuntut ilmu sukar untuk menguasai ilmu pengetahuan. Al-Imam al-Syafei mengingatkan kita bagaimana gurunya Waki‘ pernah membimbingnya agar beliau meninggalkan maksiat untuk memudahkannya mendapatkan ilmu.

شكوت إلى وكيع سوء حفظي              فأرشدني إلى ترك المعاصي
وأخبرني بـأن العلم نور              ونور الله لا يُهدى لعاصي

Ertinya: “Aku mengadu kepada Waki‘ tentang kurangnya hafazanku, maka dinasihatkan aku agar meninggalkan maksiat, serta memaklumkan kepadaku sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.”

Kita bimbang kerana kebanyakan mahasiswa sekarang kurang mengambil berat tentang hal-hal sedemikian. Ada yang menganggapnya sebagai suatu perkara kecil dan remeh temeh seperti menjaga dosa mendedahkan aurat, menjaga dosa yang dilakukan melalui mata, tangan sama ada secara terang atau melalui internet, menjaga dosa melalui pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya. Kita bimbang sekiranya perkara-perkara seumpama ini tidak diambil perhatian, maka perkara-perkara yang lebih besar dan dosa-dosa yang mengundang kemurkaan Allah akan menyusul …. wal ‘iyazubillah min zalik!

Sejak akhir-akhir ini dengan mudah kita dapati soal pakaian tidak diambil berat oleh kebanyakan mahasiswa. Kita merasa sedih yang amat sangat apabila ada dalam kalangan mahasiswa kita yang berpakaian selekeh atau simple yang tidak menggambarkan imej sebagai seorang penuntut ilmu, sebagai seorang mahasiswa atau mahasiswi. Pemakaian menutup aurat tidak diambil perhatian oleh mahasiswa dan mahasiswi kita sama ada semasa berada di dalam kampus ini ataupun di luar kampus. Masih ada lagi mahasiswa yang berseluar pendek semasa bermain, berjogging atau bersukan; masih ada kalangan mahasiswi yang masih tidak menutupkan rambut mereka – menganggap rambut bukan salah satu anggota badan  yang mesti merasa malu untuk dipertontonkan kepada ramai - bahkan masih ramai kalangan mahasiswi yang berseluar jeans dan memakai t-shirt yang berlengan pendek, ketat dan sendat hingga menampakkan bentuk tubuh badan mereka walaupun dikatakan berpakaian atau bertudung. Bahkan terdapat mahasiswi yang mengenakan pakaian seperti lelaki sedangkan jelas ini dilarang dalam Islam; lelaki berpakaian wanita mahupun wanita berpakaian lelaki jelas dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya. Malah masih ramai dalam kalangan mahasiswi kita yang berpakaian sedemikian rupa hatta semasa berada dalam majlis ilmu di dalam dewan atau bilik-bilik kuliah.

Begitu juga sebagai seorang mahasiswa atau mahasiswi yang membawa amanah menjaga kesucian ilmu yang dipelajari, maka hendaklah kita menjaga kehormatan dan maruah diri kita terlebih dahulu. Contohnya dalam pergaulan kita seharian; pastikan perhubungan antara satu sama lain dalam ruang lingkup menjaga batas-batas yang diizinkan oleh syarak, apatah lagi antara seorang mahasiswa dengan mahasiswi yang tiada hubungan mahram. Islam tidak mengizinkan seorang mahasiswa melihat seorang mahasiswi dengan perasaan ghairah; melihat auratnya, apa lagi menyentuhnya walaupun hanya menyentuh tangannya sahaja. Justeru adanya had atau batasan daripada Allah dan Rasul-Nya dalam soal perhubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini, maka patutlah kita terutama orang yang disebut sebagai penuntut ilmu mengambil sikap lebih berhati-hati. Semasa berada di dalam dewan dan bilik kuliah ataupun di dalam makmal sama ada dalam situasi belajar bersama pensyarah, atau belajar dalam kumpulan, atau melakukan tugasan kumpulan; pastikan had yang ditentukan Allah ini diambil kira oleh semua pihak.

Ingatlah! Seorang mahasiswa perlu mengelakkan diri daripada keluar bersama seorang mahasiswi, berdua-duaan ke sana ke mari sama ada dalam kawasan kolej kediaman, di luar kampus atau di mana-mana sahaja, apatah lagi berada di atas sebuah motosikal ataupun di dalam sebuah kereta secara berdua-duaan. Juga kurang wajar seorang mahasiswa duduk makan minum bersama-sama dengan seorang mahasiswi yang tiada pertalian apa-apa pun dengannya sama ada di cafe kolej atau arked atau di mana-mana sahaja; berbual, bergurau senda, malah bersuapan makan minum seolah-olah mereka adalah sepasang suami dan isteri. Rasulullah SAW banyak meninggalkan pesanan dan peringatan kepada kita tentang hubungan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Antaranya:
لا يخلون رجل بامرأة إلا مع ذي محرم
Ertinya: Seorang lelaki tidak boleh bersama dengan seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahram”(HR Bukhari).

ما خلا رجل بامرأة إلا وكان الشيطان ثالثهما
Ertinya: “Tidak akan berlaku seorang lelaki bersama dengan seorang perempuan melainkan syaitan adalah yang ketiga antra keduanya” (HR al-Tirmizi).

Cuba kita renungkan; adakah situasi yang dinyatakan oleh Rasulullah ini diambil berat.  Ada tak dalam kalangan mahasiswa mahasiswi kita yang keluar bersama-sama di luar kampus daripada waktu kuliah, terutama waktu malam; balik pula ke kolej sampai lewat malam bersama pasangan masing-masing? Kalau ada berlaku sedemikian; di manakah maruah seorang mahasiswa dan mahasiswi; muslim dan muslimah yang berpegang pada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya? Kalaulah tiada perasaan malu kepada Allah dan Rasul-Nya, tidak adakah secebis perasaan MALU kepada pengawal keselamatan, pensyarah, pengetua dan felo-felo di kolej kediaman masing-masing kerana mereka ini umpama ibu dan bapa kita semasa keberadaan kita di kampus ini.
Wahai penuntut-penuntut ilmu, tutuplah segala keaiban diri dan jagalah maruah diri kita kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada diri kita. Malulah kita kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar malu, tambahan pula kita adalah penuntut ilmu yang ada harga diri dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Sidang Jumaat yang berbahagia, para mahasiswa dan seluruh warga kampus yang dirahmati Allah SWT,

Bagi menyemarakkan lagi budaya ilmu di dalam kampus ini, tinggallah semua amalan yang jelas melanggar hukum Allah ini. Sebaliknya marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Mahasiswa wajib memastikan diri masing-masing agar sentiasa melakukan solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia mendatangkan rasa kehambaan kita di hadapan Allah Azza Wa Jalla hingga memungkinkan kita bermuhasabah. Jangan cuba melengah-lengahkan solat lima waktu, dan sentiasa membaca al-Quran agar hidup kita sentiasa diberkati dan diredai oleh Allah. Lazimkan diri untuk berada bersama-sama jemaah di surau-surau kolej atau di masjid kita ini. Dapatkan seberapa banyak pengajian ilmu-ilmu agama kerana ilmu-ilmu ini bertaraf wajib bagi kita untuk dipelajari. Sememangnya ilmu-ilmu ini tidak diajar di bilik-bilik kuliah, tetapi menjadi kewajipan setiap daripada kita untuk mempelajarinya, maka kita wajib berusaha mencarinya. Alhamdulillah, di dalam kampus kita ini banyak majlis ilmu agama yang dianjurkan oleh Pusat Islam atau pihak-pihak lain bagi memantapkan lagi rohani, iman dan taqwa warga kampus; kuliah-kuliah agama, ceramah dan sebagainya yang dibimbing oleh tenaga-tenaga pembimbing yang berkelayakan dan bertauliah sama ada dari dalam atau luar. Marilah kita mengambil peluang ini; peluang yang mungkin hanya datang kali ini sahaja dalam hidup kita kerana kita akan meninggalkan dunia yang fana ini pada bila-bila masa sahaja tanpa kita jangka.

Ingatlah bahawa menuntut ilmu adalah suatu jihad. Mahasiswa yang menuntut ilmu adalah orang-orang yang sedang berjihad. Jangan sekali-kali cuba mencalarkan imej anda sebagai seorang mujahid yang berjihad untuk mendapatkan  ilmu di universiti ini. Seorang mujahid atau orang yang berjihad sudah semestinya akan menjauhi segala perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Cuba kita fikirkan;

  • Adakah wajar kita berpakaian mendedahkan aurat sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita melakukan perbuatan mungkar atau maksiat sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita berada berdua-duaan atau berkhalwat dengan pasangan bukan mahram kita sedangkan kita tengah berjihad?
  • Adakah wajar kita tidak melakukan solat atau perintah Allah yang lain sedangkan kita tengah berjihad?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah! Tentu jawapannya “tidak sama sekali” !

Marilah kita memartabatkan pembudayaan ilmu di kampus penyelidikan ini; budaya ilmu dalam erti kata yang sebenarnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh para ulama yang cintakan ilmu. Marilah kita hapuskan segala sifat-sifat yang tidak wajar ada bagi seorang yang bergelar “mahasiswa” sekaligus sebagai seorang yang mengaku dirinya muslim atau muslimah. Marilah kita beradab dan bersifat dengan akhlak Islamiyyah dalam menuntut ilmu. Allah telah memberikan nikmat-Nya kepada kita sebagai seorang terpelajar, maka hargailah nikmat ini dengan sebaik-baiknya!
أعُوْذُ بالله مِنَ الشَّيْطَاْنِ الرَّجِيْمِ
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ
Terjemahan:  Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang ditentukan-Nya), dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya (Surah al-Baqarah:269)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْءانِ اَلْعَظِيْمْ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ ِبمَا فِيْهِ مِنَ اْلآياَتِ وَالذِّكْرِ اَلْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ اَلسَّمِيْعُ اَلْعَلِيْمُ. أُوْصِيْكُمْ عِبَادَ الله وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ اَلْمُتَّقُوْنَ، وَأَحُثُّكُمْ وَنَفْسِىْ عَلَى طَاعَةِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ فِىْ كُلِّ وَقْتٍ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ اَلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِماتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِناتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَياَ فَوْزَ اَلْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ اَلتَّآئِبِيْنَ.

0 comments: